Malas update. Sibuk dengan dunia. Saja nak kongsikan surat yang pernah dihantar ke suratkhabar berkenaan proses evakuasi tahun lepas, namun tak berjaya di siarkan. :)
Memandangkan ramai yang bertanyakan perincian apa yang berlaku, harapannya nota ini dapat memberi sedikit gambaran. Berikut adalah emel yang dihantarkan kepada sinarharian,hmetro,malaymail, malaysiakini dan malaysia insider. Tak tahulah akan keluar atau tidak dalam ruang surat pembaca.
25 Januari 2011, rakyat Mesir turun di jalanan untuk membantah pemerintahan kuku besi Presiden Hosni Mubarak. Dan ianya berlanjutan hingga kemuncaknya pada 28 Feb 2011. Ini menyebabkan internet, telefon dan khidmat sms dihentikan. Dan diantara yang terkesan adalah lebih dari 10000 rakyat Malaysia yang berada di mesir sama ada untuk tujuan belajar, ziarah atau melancong. Berikut adalah pengalaman saya untuk memberikan gambaran dari apa yang saya lalui.
1 Feb : saya bertolak dari DMAK (Dewan malaysia abbasiah Kaherah) bersama dengan beberapa orang rakan yang lain ke Lapangan Antarabangsa Kaherah(LAK). Pada hari tersebut perintah berkurung diawalkan 2 jam bebanding hari sebelumnya iaitu akan bermula pada jam 1300 berbanding hari sebelumnya yang bermula dari jam 1500. Mengikut maklumat yang saya perolehi dari NileTV(Tv rasmi kerajaan Mesir), egyptair tidak memberhentikan operasinya tetapi akan melakukan perubahan kepada penerbangan yang berlangsung ketika perintah berkurung. Pada ketika itu usaha untuk menyemak status flight amat sukar kerana agensi perlancongan di mana tiket saya dibeli tidak dibuka. Dan nombor hotline egyptair (1717 dari telefon mudah alih; 1LE/minit) tidak dapat memberikan kepastian mengenai status mana2 penerbangan. Jadi saya mengambil keputusan untuk pergi ke LAK dengan berbekalkan makanan untuk sehari kerana saya percaya yang Egyptair hanya menunda penerbangan.
Sesampainya saya di Terminal 3 (dikhususkan untuk Egypt air dan syarikat penerbangan yang menjadi ahli Star Alliances), terdapat lebih kurang 70-100 rakyat Malaysia yang terkandas di sana. Ada yang sudah berada di sana selama beberapa hari sejak 29 Januari. Mereka dijanjikan bahawa akan ada penerbangan Kaherah-Kuala Lumpur dilakukan dalam masa terdekat. Kami dijanjikan bahawa sekiranya kumpulan ke Malaysia mencecah 150orang maka akan ada penerbangan ke Kuala Lumpur. Pada jam 2100 kami mula berkumpul di hadapan pintu masuk check-in untuk mendesak pihak egyptair mengusahakan penerbangan ke Malaysia atau menukarkan kepada penerbangan ke mana-mana destinasi bersama dengan connecting flight sekali. Pada jam 2130 penerbangan ke kuala lumpur(dijadualkan berlepas pada pukul 0015) muncul di skrin tanpa sebarang status. Kemudian berubah kepada dibatalkan, kumpulan kami mula menjerit dan bertengkar dengan sekuriti dan pegawai EgyptAir. Kami meminta untuk berunding dengan ketua pegawai untuk mencari sebarang penyelesaian. Namun permintaan kami tidak diendahkan. Kami juga telah menghubungi pegawai kedutaan agar membantu kami berbincang dan memberikan tekanan kepada egyptair untuk membawa pulang kami yang terkandas, namun jawapan yang diterima ialah egyptair ialah syarikat swasta dan perbincangan dan tekanan terhadap egyptair tidak akan membawa apa-apa faedah. Terdapat panggilan dari Tv9 untuk memastikan situasi sebenar. Kami mendapat maklumat bahawa 150orang yang terkandas sejak 29 Jan itu dilaporkan telah selamat sampai, tetapi dikalangan kami memang ada yang menanti dari 29 Jan lagi.
Akhirnya setelah beberapa lama, ada diantara kami yang dapat menghubungi YAB Duta Malaysia ke Mesir untuk memaklumkan keadaan kami yang terkandas di terminal 3 LAK, dan dimaklumkan bahawa kedutaan akan menghantar wakil mereka bertemu dengan kami pada esok harinya. Kami berkumpul dan tidur di hadapan pintu masuk sebagai tanda protes terhadap pihak pengurusan egyptair kerana membatalkan penerbangan ke Malaysia dan enggan menggantikannya dengan mana2 laluan yang masih beroperasi bersama dengan connecting flight ke kuala lumpur, sebaliknya memberikan pilihan kepada kami untuk menukar laluan ke mana2 destinasi (dimana kami terpaksa mangambil risiko berada di destinasi seterusnya tanpa sebarang persiapan yang cukup; duit dsb) , refund tiket (terhad kepada mereka yang membeli tiket di dalam Mesir) atau membeli tiket penerbangan lain. Jadi kami tiada pilihan lain melainkan menunggu penerbangan ke kuala lumpur seterusnya.
2 Feb : Kami dikejutkan pada pukul 5pagi dengan ura-ura bahawa akan ada penerbangan langsung ke KLIA. Namun setelah puas menunggu, tiada apa2 hasil. Kemudian wakil kumpulan kami Puan Shakeela Khanam telah berusaha berbincang dengan pihak egyptair, dan kami sekali lagi dijanjikan bahawa terdapat penerbangan ke KLIA pada pukul 5 petang. Timbalan Menteri Luar, pegawai dari Wisma Putra dan YAB Duta Malaysia ke Mesir datang melihat keadaan kami. Kami diberikan sedikit maklumat mengenai pelan evakuasi dan dalam masa yang sama kami meminta mereka untuk berbincang dengan pihak Egyptair. Akhir keputusan mereka mengatakan bahawa memang akan ada penerbangan ke KLIA pada pukul 5ptg. Dan kami akan diberikan makanan tengahari dari syarikat egyptair.
Dalam jam 1400 kami mendapat makanan tengahari yang dijanjikan, namun berita mengenai penerbangan itu masih lagi tidak kelihatan hasilnya, dan pada hari ini baru pegawai dari kedutaan datang melihat kami yang terkandas di terminal 3. Pada pukul 5ptg kami dimaklumkan bahawa tidak akan ada penerbangan ke KLIA pada hari tersebut.. Kami diberikan penginapan percuma di hotel Iberotel(hotel transit) semalaman, makan malam dan sarapan, dan dijanjikan sekali lagi penerbangan ke malaysia pada keesokan harinya. Bilangan kami berkurangan setelah ramai yang menukar haluan dengan membeli tiket penerbangan ke destinasi yang baru kerana tidak dapat percaya dengan janji baru itu.
3 Feb : Penerbangan kami ditukarkan didalam sistem daripada CAI-KUL kepada CAI-JED-KUL. Kami bertolak dari LAK ke Jeddah menaiki kapal Egyptair pada jam 1300. Perjalanan selama 2 jam. Kami terpaksa melalui kerenah kastam yang ketat kerana ketiadaan visa walaupun tiket untuk connecting flight memang sedia ada di dalam itenary. Kami diberikan kupon makan malam. Dan berlepas ke KLIA pada jam 2330 waktu tempatan.Dan alhamdulillah sampai ke KLIA pada jam 1300 waktu Malaysia.
Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang berusaha membantu baikdari kalangan kami sendiri yang terkandas mahupun dari badan-badan dan persatuan-persatuan pelajar di Mesir yang memberikan bantuan bekalan makanan. Tidak lupa juga kepada kerajaan Malaysia yang prihatin namunmasih terdapat beberapa kelemahan. Justeru ingin saya utarakan beberapa perkara di sini ;
1- Sepanjang tempoh terkandas di lapangan terbang 29 Jan- 3 Feb(mengambil kira mereka yang paling lama terkandas di LAK di dalam kumpulan kami), kedutaan hanya menghantar wakilnya untuk membantu kami pada 2 feb. Dan untuk 2-3 hari yang awal beberapa penumpang terpaksa beralas perut dengan membeli makanan yang amat mahal di dalam LAK. Sedangkan dalam tempoh tersebut mesin ATM tidak berfungsi, wang tunai semakin sedikit, dan bekalan makanan yang amat terhad (pada 2 Feb rata2 kedai serbaneka dan restoran di LAK tidak beroperasi kerana tidak mendapat bekalan).
2-Terdapat beberapa wakil dari kerajaan eropah dan benua amerika(spt swiss dan canada) yang menunggu di Terminal untuk memberikan bantuan kepada rakyat mereka samada dari segi makanan dan khidmat nasihat. Mereka memakai vest yang tertulis nama negara dan lambang negara mereka. Persoalannya, negara yang mempunyai rakyat yang secara relatifnya sedikit berbanding dengan Malaysia mampu menghantar wakil untuk membantu rakyat mereka, menagapa kerajaan Malaysia tidak mampu menugaskan beberapa orang wakil kerajaan di Terminal 1&3 untuk memberikan bantuan nasihat dan makanan sedangkan pelajar Malaysia yang berada di Mesir lebih dari 10 000 orang. Tidakkah pihak yang bertanggungjawab berfikir bahawa terdapat ramai rakyat Malaysia yang berada di Mesir untuk melawat anak-anak, rakan dan saudara mereka sempena cuti musim sejuk? Tidakkah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di mana-mana negara yang bergolak? Secara logiknya Malaysia yang mempunyai rakyat yang ramai di Mesir seharusnya bertindak lebih cepat dan menghantar wakil kerajaan di terminal utama di negara yang terlibat.
3-Kesemua yang terkandas merupakan mereka yang membeli tiket Egyptair, kerana mereka lebih mengutamakan penerbangan ke negara maju dan negara jiran bersebelahan (kerana kurangnya penerbangan ke sana yang dibatalkan berdasarkan pemerhatian saya). Kami tahu dan sedar bahawa menjadi tanggungjawab pihak penerbangan untuk menggantikan penerbangan yang dibatalkan ke mana-mana destinasi yang ada bersama dengan connecting flight. Tetapi kami dinafikan dari hak tersebut, dan mereka hanya memberikan pilihan menukarkan cai-kul ke destinasi yang lain tanpa sebarang connecting flight dari destinasi baru ke KLIA, bermakna kami terpaksa membeli tiket baru untuk ke KLIA dan mengambilrisiko terpaksa menetap di terminal transit tanpa sebarang persiapan yang cukup.
4-Kami juga dinafikan hak untuk menebus tiket penerbangan yang dibatalkan, dan dikatakan hanya mereka yang membeli di LAK sehaja berhak mendapat wang kembali. Ini amat penting kerana rata-rata dari kami sudah kehabisan wang tunai dan untuk meminta mereka yang beradadi luar mesir beli secara online adalah mustahil kerana ketiadaan tempat kosong. Pilihan yang ada adalah untuk membeli tiket darisyarikat penerbangan lain yang kurang bermasalah. Namun dengan hargatiket yang mahal dan kehabisan wang, kami tiada pilihan melainkan untuk menunggu penerbangan ke KLIA.
5-Usaha kami untuk berunding dengan pihak atasan Egyptair juga menemui jalan buntu kerana permintaan kami untuk berunding tidak diendahkan. Mujur ketika pada akhirnya wakil kami dapat berunding dengan mereka. Kerana kami pada mereka hanyalah orang biasa yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan.
6-Internet terputus dan khidmat sms dihentikan sejak 28 Feb lagi.Dan ini menyukarkan lagi urusan pembelian tiket, di mana kebanyakan kami mengharapkan keluarga di luar Mesir untuk membeli tiket.Satu-satunya cara yang ada ialah dengan menelefon mereka, dan rata-rata kami hanya memiliki talian prepaid di mana bekalan top-up diLAK pun sudah habis. Ini memang menyulitkan keadaan. Kami terputus dengan dunia luar, dan maklumat yang kami dapat amat terhad, lantas menyukarkan kami untuk membuat keputusan.
7-Kelewatan pihak kedutaan untuk menghantar wakil dan bertindak amat dikesalkan, kerana terdapat di antara kami mereka yang berkeluarga dan pelajar-pelajar baru yang pengalaman mereka berurusan dengan situasi dan karenah serta perkara yang melibatkan hak-hak mereka amatlah terhad. Kami yang terkandas hanyalah rakyat Malaysia biasa yang bukan pakar dengan undang antarabangsa dan hak-hak kami dalam urusan penerbangan. Sepatutnya pihak kedutaan/kerajaan menghantar wakil yang arif selok-belok undang-undang untuk membantu kami. Dan wakil-wakil tersebut sepatutnya berada di terminal 1&3 sepanjang krisis berlaku untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas.
8-Terdapat kekurangan dari segi komunikasi dan maklumat. Kerana website rasmi kerajaan sangat lambat dikemaskini berbanding dengan sumber alternatif melalui facebook, tweeter dsb. Ini menyebabkan banyak khabar angin yang berlegar. Kerajaan perlu maklum bahawa saat-saat kritikal begini kemaskini sepatutnya dilakukan setiap minit!
9-Keputusan kerajaan untuk memberikan penerbangan percuma ke Malaysia adalah lewat, dan meletakkan kebanyakkan pelajar dalam dilema di samping terlalu banyak ketidakpastian yang didalam perancangan evakuasi, kerana pada mulanya kami diberi taklimat JPA pada 1 Janbahawa pelan evakuasi hanya ke jeddah dan sebarang usaha untuk keluar dari jeddah adalah di bawah tanggungan masing-masing. Hanya dalam 3Feb sahaja ada khabar bahawa akan ada penerbangan percuma dari Jeddah ke KL.
10-Kawasan-kawasan penempatan pelajar Malaysia kebanyakannya di zon hijau, di mana kawasan-kawasan ini tidak terkesan, kerana penduduk setempat menubuhkan rukun tetangga, menjaga kawasan setempat dengan menyekat jalan-jalan dengan batu, kayu, tiang dsb dari sebaranag tindakan anarki. Namun begitu bekalan makanan di kawasan setempat semakin berkurangan kerana jalan masuk ke Kaherah telah ditutup pada waktu perintah berkurung. Dibimbangi jikalau ianya berterusan akan menimbulkan suasana panik dan cemas.
11-Untuk kebaikan bersama, saya amat berharap kerajaan Malaysia dapat memperbaiki cara menangani situasi seperti ini. Sedangkan dengan jumlah rakyat Malaysia yang begini ramai pun perkara seperti ini (terkandas dan bantuan lambat tiba) berlaku, bagaimana jika jumlah yang terlibat lebih sedikit dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan. Juga dapat memberikan tekanan diplomatik ke atas kerajaan Mesir untuk mengakhiri episod mencemaskan ini.
12-Saya ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam membantu rakyat Malaysia di Mesir.
Mohd Irfan Mohd Sharif
Pelajar Tahun 2 Universiti Al-Azhar
wah, entry yang menarik, blog ni pun lawa, keep up the good work! :D
BalasPadamterima kasih atas ulasan. Maaf lambat reply. Apa2 teguran dan kritikan saya alu2kan. :)
BalasPadam